Tun Datuk Pengiran Hj. Ahmad Raffae dilahirkan pada 4 November 1908 di Sipitang, Daerah Beaufort.  Beliau merupakan anak keempat kepada O.K.K. Pengiran Haji Omar, bekas Timbalan Penolong Pegawai Daerah (D.A.D.O. – Deputy Assistant District Officer) Putatan. Pengiran Haji Omar merupakan orang tempatan yang paling awal dilantik ke jawatan D.A.D.O. dari tahun 1915-1922. Tun Pengiran Hj. Ahmad Raffae telah berkahwin dengan Toh Puan Dayang Hajah Kusnah binti Enche Sian.  Mereka mempunyai lima orang anak.  Beliau mempunyai isteri kedua bernama Dayang Supinah binti Abdullah.Tun Pengiran Hj. Ahmad Raffae gemar memancing, bermain bergolf, memburu, bersukan, mendengar muzik dan menunggang kuda pada masa lapangnya.

Beliau menerima pendidikan di Sekolah Khas Inggeris di Putatan, kemudiannya di sebuah sekolah yang terletak di Papar (1918-1922) dan seterusnya di Sekolah Rendah Melayu Sipitang hingga tahun 1924. Pada 1 Mei 1930, Tun Pengiran Hj. Ahmad Raffae menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Anak Negeri Gred Ketiga dengan bayaran gaji $15 sebulan.  Beliau telah dilantik sebagai Pegawai Pelatih Timbalan Penolong Pegawai Daerah Beaufort pada tahun 1941 dan telah diserap ke jawatan tetap pada tahun 1942.

Ketika pendudukan Tentera Jepun di Borneo Utara, Tun Pengiran Hj. Ahmad Raffae telah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah Beaufort (A.D.O.) dan kemudiannya sebagai Gun Chu (Pegawai Anak Negeri) di Sipitang, Beaufort dan Kota Belud.  Selepas Perang Dunia Kedua tamat, beliau telah meninggalkan Kota Belud dan berjalan kaki ke Tuaran untuk menyambut kedatangan Tentera Pembebasan.  Dari Tuaran, beliau menaiki perahu menuju ke Papar, dan dari Papar, beliau berlepas ke Tenom dan melaporkan dirinya untuk bekerja sebagai Timbalan Penolong Pegawai Daerah Tenom pada 1 Julai 1946. Tun Pengiran Hj. Ahmad Raffae telah dinaikkan pangkat menjadi Pemangku Pegawai Daerah Beaufort selama sebulan pada tahun 1946 dan kemudian ditukar menjadi Timbalan Penolong Pegawai Daerah (D.A.D.O.) Mempakul, Sipitang.  Selepas itu, beliau ditugaskan di Kuala Penyu dan Beaufort.

Pada tahun 1954, Tun Pengiran Hj.Ahmad Raffae dilantik menjadi Timbalan Penolong Pegawai Daerah Labuan dan Penampang.  Beliau kemudiannya memegang jawatan Penolong Pegawai Daerah Penampang selama lapan bulan pada tahun 1955 sebelum ditukar ke Beluran, Sandakan.  Pada September 1957, beliau ditukar ke Beaufort sebagai Penolong Pegawai Daerah. Pada tahun 1958-1963, Tun Pengiran Hj. Ahmad Raffae memegang jawatan Penolong Pegawai Daerah di Kuala Penyu, Ranau dan juga Persiangan. Pada tahun 1962, Tun Pengiran Hj. Ahmad Raffae telah bersara setelah berkhidmat selama 32 tahun dalam perkhidmatan awam Borneo Utara; beliau telah mencapai tingkatan gaji kerajaan skel C1, C2, C3 dalam Bahagian II sepanjang tempoh perkhidmatannya. Di antara tahun 1964 dan 1965, Tun Pengiran Hj. Ahmad Raffae telah memangku jawatan Yang di-Pertua Negeri dan beliau juga telah membawa kemajuan kepada Sabah bersama dengan Tun Datu Haji Mustapha Bin Datu Harun serta menyatupadukan penduduk berbilang kaum di Sabah.  Beliau dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah kedua pada tahun 1965 selepas Tun Datu Hj. Mustapha.  Tun Pengiran Hj. Ahmad Raffae memegang jawatan ini hingga tahun 1973. Tun Pengiran Hj. Ahmad Raffae adalah seorang yang peramah, berdisiplin tinggi dan mempunyai pegangan agama yang kuat.  Oleh hal yang demikian, beliau dihormati dan disanjung oleh segenap lapisan penduduk Sabah. Tun Pengiran Hj. Ahmad Raffae telah menerima beberapa anugerah, antaranya ialah : Seri Panglima Darjah Kinabalu (S.P.D.K.) pada 31 Ogos 1963, Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N.) yang membawa gelaran “Tun” pada Jun 1967 dan juga P.D.K. serta P.P.M.

Tun Pengiran Hj. Ahmad Raffae telah meninggal dunia pada bulan Mac 1995 ketika berusia 87 tahun.